Tuesday 16 December 2014

CATATAN SEPINTAS LALU SEMPENA 100 HARI NIK NAZMI NIK AHMAD MENJADI KETUA AMK MALAYSIA.






Kemenangan yang di pertikaikan kerana dicemari dengan keraguan

1 Disember yang lalu genap 100 hari Nik Nazmi Nik Ahmad menjawat ketua sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat atau dalam istilah parti dirujuk sebagai Angkatan Muda KEADILAN (AMK). Dalam pemilihan parti yang memakan masa hampir lima bulan, Nik Nazmi telah diumum sebagai pemenang dalam pertandingan tiga penjuru di antara beliau dengan Amirudin Shari dan Mohd Nazree Yunus.

Amirudin Shari, wakil rakyat Batu Caves yang bergandingan dengan Dr. Afif Bahardin dari Pulau Pinang dilihat mendahului Nik Nazmi sejak dari awal proses pemilihan dan pasangan regu ini dijangka berpeluang besar untuk menang oleh kebanyakan anggota parti.

Kedua-duanya merupakan calon yang diketahui memiliki sokongan kuat di peringkat akar umbi serta lebih disenangi oleh anggota AMK jika dibandingkan dengan Nik Nazmi dan regu beliau Chang Lih Kang yang dilihat bersifat elit dan tidak popular di kalangan anggota bawahan. Walaubagaimanapun, sehari sebelum Kongres AMK ke-10 berlangsung pada 22 Ogos yang lalu, pihak Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) telah mengumumkan kemenangan Nik Nazmi di dalam pertandingan tersebut.

Nik Nazmi diumumkan menang setelah JPP mengambilkira keputusan pengundian dari cabang Pensiangan yang dilaporkan telah dicemari dengan unsur penipuan, rasuah dan penyelewengan kertas undi. Kontroversi melibatkan cabang Pensiangan ini bermula setelah proses pemilihan di cabang tersebut yang dijalankan pada bulan Mei 2014 telah dibatalkan oleh pihak JPP tanpa sebarang sebab. Keputusan undian dalam pemilihan tersebut telah menunjukkan sokongan hampir 100% kepada calon Timbalan Presiden iaitu Azmin Ali, Amirudin Shari dan calon Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin.

Namun demikian, pemilihan semula di cabang tersebut yang diadakan pada bulan Julai 2014 telah menyaksikan peralihan sokongan yang cukup mengejutkan! Keputusan undian dalam pemilihan semula di cabang Pensiangan menujukkan sokongan 100% menyebelahi calon Timbalan Presiden iaitu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Nik Nazmi dan Rodziah Ismail (calon Ketua Wanita). Ia jauh berbeza dengan trend sokongan dalam pemilihan awal dua bulan sebelum itu. Beberapa aduan yang dilaporkan kepada pihak JPP telah mendakwa wujud pelbagai salahlaku dan penyelewengan sepanjang proses pemilihan semula namun sehingga kini, tiada sebarang tindakan diambil oleh JPP.

Susulan dari itu, sebaik sahaja Nik Nazmi diumumkan sebagai Ketua AMK yang baharu pada 22 Ogos 2014, hampir separuh dari para perwakilan dilaporkan meninggalkan dewan dalam Kongres AMK ke-10 baru-baru ini. Ini diikuti dengan tindakan hampir 17 daripada 25 barisan kepimpinan AMK yang baru dipilih turut bertindak turun dari pentas serta meninggalkan dewan sebaik Nik Nazmi memulakan ucapan sulung beliau sebagai Ketua AMK.

Protes terbuka oleh para perwakilan serta pimpinan AMK yang baharu ini secara jelas menunjukkan bahawa mereka tidak mengiktiraf Nik Nazmi sebagai Ketua AMK yang dikatakan ‘dimenangkan’ hasil campurtangan pimpinan tertinggi parti yang bimbang dengan penguasaan proksi Azmin di dalam AMK.

Apa yang lebih menyulitkan Nik Nazmi adalah hampir 80% barisan kepimpinan baharu AMK didominasi oleh pasukan yang bergerak bersama Amirudin. Dr. Afif (Timbalan Ketua AMK) beserta tiga Naib Ketua dan 15 orang Ahli Majlis Pimpinan Pusat merupakan dari pasukan AMK Baru yang dipimpin oleh Amirudin dalam kempen pemilihan parti. Ini memaksa Nik Nazmi merayu sokongan dan kerjasama mereka.

Susulan insiden memalukan pada hari pertama beliau sebagai Ketua AMK, difahamkan kepimpinan tertinggi parti telah mengarahkan Nik Nazmi bersama barisan kepimpinan baharu AMK mengadakan sidang media pada keesokan harinya sebagai tanda solidariti dan permulaan kerjasama untuk memulihkan semula imej Nik Nazmi yang terjejas teruk. Dalam sidang media tersebut, ke semua pihak telah bersetuju untuk mencapai perdamaian dan mengenepikan perbezaan serta bekerjasama demi masa depan AMK dan parti.


Kepimpinan yang lemah dan membelakangkan semangat musyawarah


Segalanya kelihatan tenang dan normal sebaik sidang media bersama di antara Nik Nazmi dengan barisan kepimpinan AMK yang baharu. Apa yang tidak diketahui adalah pada sebelah malamnya telah berlangsung mesyuarat tidak rasmi yang pertama di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya.

Di dalam mesyuarat tersebut, Nik Nazmi dilaporkan telah bersikap emosi dan menyatakan kekesalan beliau terhadap tindakan majoriti pimpinan AMK yang bertindak turun pentas dan keluar dewan sebaik beliau memulakan ucapan sulung. Beliau turut menyifatkan bahawa insiden tersebut merupakan perkara yang memalukan sepanjang hidupnya serta mencalarkan hati dan perasaan isterinya.

Di sebalik semua itu, Dr. Afif dilaporkan telah memohon maaf secara terbuka bagi pihak Ahli-Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) AMK yang telah bertindak keluar dewan dan juga menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan Nik Nazmi dan pasukannya. Walaubagaimanapun Nik Nazmi menolak tawaran mereka dan mempersoalkan kesetiaan mereka.

Dengan tegas beliau menyatakan bahawa beliau tidak mempercayai seorang pun di kalangan barisan kepimpinan yang sebelum ini bersama dalam pasukan Amirudin. Tindakan Nik Nazmi ini mencetuskan ketegangan dan pertikaman lidah. Namun demikian, keputusan tetap diambil bahawa kerjasama di masa hadapan perlu dicapai atas semangat musyawarah dan muafakat dengan mengenepikan sebarang perbezaan.

Tidak sampai seminggu selepas sidang media bersama yang diadakan ketika kongres parti, pada 7 September 2014, Nik Nazmi telah bertindak secara unilateral dengan mengumumkan pelantikan ahli-ahli MPP AMK (atas kuota lantikan yang diperuntukkan) menerusi satu kenyataan media di laman blog beliau. Apa yang mengejutkan adalah beliau telah membuat pengumuman tersebut satu jam sebelum mesyuarat rasmi pertama Majlis Pimpinan Pusat AMK.

Lebih mengejutkan adalah Timbalan Ketua AMK Dr. Afif sendiri pun tidak dirujuk oleh Nik Nazmi sebelum mengumumkan pelantikan bahkan ada di kalangan ahli-ahli MPP AMK yang dilantik dikatakan bukan anggota KEADILAN! Keputusan beliau melantik 15 orang ahli MPP AMK yang baharu tanpa persetujuan mesyuarat telah dibantah keras oleh ahli-ahli MPP AMK yang dipilih menerusi proses pemilihan.

Mesyuarat pada hari tersebut telah berlangsung dalam suasana kecoh dan tegang. Berlaku jerit menjerit dan cemuh-mencemuh di dalam mesyuarat. Lantaran gagal mengawal mesyuarat, Nik Nazmi bangun dan meninggalkan mesyuarat dengan bersahaja.

akan bersambung .......

1 comment:

  1. ADa kawan memaklumkan peperiksaan PT3 teramat teruk. Ibu bapa pening kepala la nampaknya...... Sapalah menteri yang memperkenalkan kaedah peperiksaan PT3 tur ye???

    ReplyDelete

INILAH IDENTITI PEMANDU LORI REMPUH ORANG RAMAI DI BANDAR NICE FRANCE MENGAKIBATKAN 84 MAUT, 53 CEDERA PARAH DAN 202 CEDERA.

Pemandu lori yang merempuh orang ramai di bandar Nice, Perancis semalam disahkan warga negara Tunisia yang bernama Mohamed Lahouaiej-Bo...